Wednesday, October 6, 2010

Puncanya ialah hutang Pusat tidak pernah dibayar

Ditulis oleh WADIASSOFI JAAFAR

ALOR SETAR - Penstrukturan semula tarif air adalah disebabkan oleh pinjaman Kerajaan Negeri daripada Kerajaan Persekutuan yang berjumlah RM1.7 bilion yang tidak pernah dibuat apa-apa bayaran balik sejak dari dahulu lagi.

Dengan pengkorporatan JBAK, pinjaman tersebut dipindahkan kepada SADA untuk dibuat pembayaran kepada Kerajaan Persekutuan di mana pembayaran pinjaman tersebut adalah melalui pengambilalihan oleh PAAB yang bertanggungjawab untuk membeli hutang Kerajaan Negeri melalui Perjanjian Pajakan antara Kerajaan Negeri dan PAAB.

Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Darul Aman (SADA), Adzmi Din memberitahu demikian pada majlis Taklimat Penstrukturan Semula Tarif Air di Negeri Kedah Darul Aman di Wisma Darul Aman, di sini.

Melalui perjanjian tersebut, katanya, semua aset tak alih (tanah, loji, rumah pam, rangkaian paip) akan dipajakkan kepada PAAB oleh Kerajaan Negeri dan diberi pajakan kecil kepada SADA seterusnya.

“Tempoh pajakan adalah selama 45 tahun akan membolehkan Kerajaan Negeri melalui SADA melunaskan hutang-hutang tersebut yang dianggarkan lebih kurang RM50 juta hingga RM54 juta setahun,” katanya.

Tambahnya, kegagalan Kerajaan Negeri untuk melunaskan hutang Kerajaan Persekutuan adalah disebabkan antaranya oleh perjanjian yang tidak wajar yang telah ditandatangani oleh Kerajaan Negeri dengan Air Utara Indah Sdn. Bhd dan Taliworks (Langkawi) Sdn. Bhd.

Pembayaran kepada kedua-dua konsesi tersebut, tanpa mengambil kira faktor-faktor seperti NWR, peningkatan tanggungan kerajaan yang meningkat dari tahun ke tahun dalam industri air, struktur tariff yang rendah dan kos-kos pembaikan infrastruktur dan bayaran kepada kedua-dua konsesi tersebut meningkat setiap tahun.

“Disebabkan oleh bebanan hutang yang ditanggung oleh SADA, Kerajaan Persekutuan melalui SPAN telah mengarahkan agar penstrukturan semula tariff air bagi Negeri Kedah dilaksanakan bagi membolehkan SADA dapat beroperasi dengan efisyen dan juga membolehkan membayar hutang dan dengan kadar tariff sedia ada, SADA beroperasi di bawah keuntungan dan ianya memberi kesan pada perkhidmatan SADA,” ujarnya.

Menurut Dato’ Adzmi, arahan penstrukturan semula ini telah dikeluarkan oleh Jemaah Menteri dalam mesyuarat pada bulan Disember 2009 dan memutuskan supaya cadangan penyemakan dan pelarasan tarif air dibentangkan untuk pertimbangan dan kelulusan Kabinet.

Jemaah Menteri telah meluluskan Peraturan-Peraturan Industri Perkhidmatan Air (Kadar Perkhidmatan Bekalan Air) (Negeri Kedah) 2010 dan diwartakan pada 1 Oktober 2010 dan mula berkuatkuasa pada tarikh yang sama.

No comments: