Sunday, November 30, 2008


Yoga secara sistematik haram - Majlis Fatwa
Majlis Fatwa Kebangsaan hari ini mengharamkan umat Islam mengamalkan yoga secara sistematik, yang melibatkan unsur-unsur fizikal dan spiritual kerana ia bertentangan dengan syariat Islam.
Pengerusinya Dato' Dr Abdul Shukor Husin bagaimanapun berkata, amalan fizikal iaitu senaman dalam yoga, tanpa adanya unsur-unsur mentera dan pemujaan pada zahirnya tidak menjadi kesalahan.
Namun, katanya, ia tidak digalakkan kerana dikhuatiri boleh menghakis akidah seseorang Muslim memandangkan ia merupakan salah satu komponen daripada keseluruhan amalan yang diharamkan itu.
"Amalan yoga yang berasal dari masyarakat Hindu mempunyai tiga peringkat, peringkat pertama adalah fizikal iaitu senaman, peringkat kedua adalah mentera dan pemujaan bagi mendapatkan ketenangan dan peringkat ketiga adalah penyatuan diri dengan tuhan.
"Oleh itu ahli muzakarah bersetuju memutuskan bahawa apa jua jenis atau bentuk amalan yang mengandungi unsur-unsur tersebut adalah dilarang dan bertentangan dengan ajaran Islam," katanya dipetik Bernama di sini hari ini.
Abdul Shukor berkata perkara itu diputuskan dalam persidangan Anggota Majlis Muzakarah Fatwa Kebangsaan ke-83 yang bersidang 22-24 Okt lalu di Kota Bharu, Kelantan, dan akan dipanjangkan kepada majlis-majlis agama negeri untuk diwartakan.
Selain Malaysia, amalan yoga telahpun diharamkan di Singapura dan Mesir, katanya.
Abdul Shukor berkata, pada peringkat ini, program kesedaran mengenai amalan itu akan diperluaskan ke seluruh negara melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Beliau turut menasihatkan masyarakat Islam supaya berhati-hati dan berwaspada dengan perkara-perkara yang boleh memesongkan akidah, serta perlu mengkaji secara mendalam mengenai sesuatu amalan sebelum melakukannya.
Beliau berkata terdapat banyak amalan lain dalam Islam yang boleh dilakukan bagi menjaga kesihatan dan mendapatkan ketenangan termasuk mengamalkan sembahyang dan berzikir.
Yoga merupakan satu pakej senaman yang telah diamalkan sejak 3,000 tahun sebelum Masihi dan dikatakan boleh melambatkan penuaan, mengurangkan risiko kencing manis, lelah dan penyakit jantung. - mks._sumber harakahdaily

DATO’ KHAZALI DATUK BANDAR BANDARAYA ALOR STAR
Oleh: AMELIA HASHIM
Amelia@kedah.gov.my

ALOR STAR, 30 November: Pegawai Daerah Kuala Muda Dato' Haji Khazali Haji Din telah dilantik menjadi Datuk Bandar Bandaraya Alor Star mulai 1Disember ini bersamaan 3 Zulhijjah 1429. Istiadat pelantikan berlangsung di Istana Anak Bukit oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah.

Sebelum itu Ketua Istiadat YB Dato' Wira Haji Syed Unan Mashri menghadap KDYMM Tuanku Sultan mempersembah maklum memohon izin memulakan istiadat. Diikuti perarakan masuk pemegang Al-Quran dan cokma Majlis Bandaraya Alor Star.

Selepas itu Datuk Bandar mengangkat sumpah disusuli dengan menandatangani penerimaan pelantikan. KDYMM Tuanku Sultan Kedah perkenan menyampaikaan Watikah Pelantikan Datuk Bandar di sudahi dengan bacaan doa.

Dato' Haji Khazali dilahirkan di Kampung Nongka, Mukim Hosba Jitra pada 7 Februari 1955 dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Hosba kemudian Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim JItra.

Beliau lulusan Ijabzah Sarjana Muda Ekonomi dari Universiti Kebnagsaan Malaysia pada tahun 1979 dan memulakan kerjaya sebagai Pegawai Tadbir Bahagian Pemperosesan Data di Ibu Pejabat FELDA Kuala Lumpur sehingga Disember 1979.

Kemudian beliau skim Perkhidmatan Tadbir Negeri Kedah pada 1 Januari 1980 di Pejabat Daerah Bandar Baharu Kedah sebagai Penolong Pegawai Daerah 11 sehingga Oktober 1983 sebelum ditukatrkan ke Pejabat Srtiausaha Kerajaan Negeri Kedah sebagai Penolong Setiausaha Kerajaan (Cawangan Am).

Pada 1 Ogos 1987 beliau ditukar ke Pejabat Daerah Kota Star sebagai Ketua Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan) dan terpilih menghadiri Kursus Plainning dan Management of Rural Development di bawah rancangan hadiah Latihan Jabatan Perkhidmatan Awam di United Kingdom selama tiga bulan pada tahun 1990.

Pada 2 November 1991 beliau dipindahkan ke Unit Perancang Ekonomi (UPEN) sebagai Ketua Penolong Pengarah dan mendapat peluang sekali lagi mengkuti kursus jangka pendek selama empat bulan di Institute of Social Studies, The Denhague di Netherland biaya United Nation Development Programme (UNDP) pada tahun 1994.

Pada 1 Disember 1996 menjadi Bendahari Negeri Kedah kemudian dipinjamkan sebagai Pengurus Besar Samak Aquaculture Sdn Bhd mulai 15 Mei 1997 sehingga Mei 2000. Berikutnya beliau dipindahkan pula ke Yayasan Islam Negeri Kedah sebagai Pengurus Besar pada 2001 . Di sini beliau sempat mengikuti kursus Pentadbiran Perniagaan Universiti Utara Malaysia selama dua tahun dan mendapat Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan pada 2003. Pada 1 Mei 2004 beliau kembali sekali lagi ke Samak Aquaculture Sdn Bhd sebagai Ketua Pegawai Operasi sehingga Ogos 2007. Jawatan terakhir ialah sebagai Pegawai Daerah Kuala Muda.

Sepanjang Perkhidmatan ini beliau mendapat anugerah Bintang Cemerlang Kedah (BCK) 1991, Ahli Mahkota Kedah (AMK) 1995 dan Dato' Setia Diraja Kedah (DSDK) pada 2008 oleh KDYMM Tuanku Sultan Kedah.