Tuesday, December 2, 2008




Wednesday, December 3, 2008

Kulim 2020: Daerah Kulim akan dinaiktaraf

Oleh: WADIASSOFI JAAFAR
KULIM, 2 Disember: Draf Rancangan Tempatan Daerah Kulim 2004-2020 atau lebih dikenali sebagai Kulim 2020 adalah satu usaha kerajaan di bawah pengawasan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Semenanjung Malaysia untuk membangunkan dan menaiktaraf ekonomi, sosial dan fizikal Daerah Kulim.
Menteri Besar, YAB Dato' Seri Ustaz Azizan Abdul Razak berkata, draf rancangan itu diwujudkan adalah sebagai persediaan untuk menghadapi cabaran globalisasi khususnya perindustrian berteknologi tinggi dan hasrat untuk menjadikan Kulim sebagai Bandaraya Pintar di Negeri Kedah.
"Kulim 2020 akan menterjemahkan dan memperincikan dasar-dasar strategik yang telah diperuntukan di dalam Rancangan Struktur Negeri Kedah untuk dilaksanakan di peringkat daerah," jelasnya.
Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Publisiti Draf Rancangan Tempatan Daerah Kulim 2004-2020 di Dewan Majlis Perbandaran Kulim, di sini.
Menurutnya, ia mengutarakan dengan lebih terperinci tentang cadangan-cadangan pembangunan yang direncanakan untuk kawasan Majlis Perbandaran Kulim sehingga tahun 2020 dan akan menjadi panduan kepada Majlis Perbandaran Kulim khususnya dan kerajaan negeri amnya di dalam memaju dan mencorakkan pembangunan di daerah ini.
"Kita ingin menjadikan Kulim sebagai daerah berimej teknologi tinggi yang mesra penduduk tanpa mengabaikan aspek sekitar serta dilengkapi dengan kemudahan infrastruktur dan utiliti dalam usaha menuju kemajuan fizikal, ekonomi dan sosial," katanya.
Ujarnya, Kerajaan Negeri tidak mahu sesuatu cadangan, perancangan atau wawasan yang dibuat itu adalah di luar dari kemampuan atau ia adalah tidak realistik, namun, yang lebih penting adalah bagaimana cara untuk kita melaksanakannya.
Beliau menjelaskan, pihak yang merancang hendaklah mempunyai pelbagai persiapan ke arah itu seperti kemudahan-kemudahan yang diperlukan dan bagi sesetengah pihak menganggap kemajuan itu adalah sejauh mana atau sebanyak mana jumlah pembangunan yang berjaya di bawa ke satu-satu tempat.
Tambahnya, jika kejayaan yang dicapai tidak dapat dirasai oleh rakyat atau semakin maju sesuatu tempat itu semakin terhimpit pula hidup rakyat, maka pastinya ada sesuatu yang tidak kena dengan pembangunan tersebut.
Posted by Warta Darul Aman Daily at 1:27 PM
Labels:






Wednesday, December 3, 2008

Buat kebajikan, terutama di bulan Muharram

Oleh: SITI ZALEHA ABDUL RAHIM
ALOR SETAR – Menteri Besar Kedah, YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak menyarankan warga Wisma Darul Aman memupuk dan menyemai diri dengan amalan kebajikan, terutama pada bulan Muharam ini.
Kebajikan merupakan amalan yang membawa kepada kebaikan untuk kesejahteraan seluruh rakyat.
Islam menggariskan empat panduan yang perlu disemai dalam diri bagi memupuk sifat kebajikan serta mengukuhkan iman. Antaranya, amalan berdoa di kalangan umatnya, setinggi manakah darjat kita di dunia ini, disisi Allah semuanya sama sahaja, menadah tangan memanjatkan doa kepada Allah memohon hidayah, ujar beliau pada Perhimpunan Bulanan Wisma Darul Aman semalam.
Selain doa, kita perlu bertaqwa kepada Allah dengan cara melakukan apa yang disuruh, meninggalkan apa yang dilarang bagi mendapat keberkatan hidup di dunia dan akhirat. Ketaqwaan perlu ditambah dengan keinsafan serta memohon kepada Allah kekayaan jiwa, iaitu menghindarkan diri daripada sifat tamak dan hasad dengki sesama insan di dunia ini, tambah beliau.
“Sebagai pentadbir, kalau sikap ini ada, Insya Allah kita dapat jalan tugas dengan baik, kita akan diyakini dan kita akan dihormati serta jiwa rasa tenang dalam menjalankan tugas,” jelas beliau.
Beliau berkata, selama sembilan bulan beliau mengetuai kerajaan, beliau dapati semua warga Wisma Darul Aman saling bekerja sama dalam mentadbir negeri Kedah dengan sempurna.
“Tak lama lagi kita akan melangkah tahun 2009, banyak cabaran bakal kita tempuhi, jadi sama-samalah kita berusaha kekalkan keyakinan dunia bahawa negeri kita adalah negeri yang stabil ekonominya, politik serta sosial.
“Maka, ramai orang akan datang ke negeri kita terutama dalam bidang pelaburan,” ujar beliau.
Pada perhimpunan tersebut, YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan turut menyampaikan Sijil Perkhidmatan Cemerlang kepada 19 kakitangan Wisma Darul Aman yang telah berkhidmat dengan cemerlang dalam menjalankan tugas.
Posted by Warta Darul Aman Daily at 1:02 PM