Sunday, September 28, 2008

SALAM LEBARAN DI AIDIL FITRI DARI UPNK


SELAMAT HARI RAYA
Maaf Zahir Batin
Dari kami seluruh warga Penerangan Kerajaan Negeri di Unit Penerangan dan Multimedia.
Kepada YB Tuan Haji Mohd Rohsidi dan kakitangan Pusat Khidmat disemua peringkat, muslimin/muslimat dimana sahaja anda berada.
Salam kemaafan, salam Aidil Fitri.

Dari kami zul, Ust Man, Azman, Zulkamal, Adi, Wahab, Siti, Aze, Fizah, Fikri, rj,kak Amelia. Pak Tam.
rjwarta@yahoo,com

Saturday, September 27, 2008

Perutusan AidilFitri dari MB


Sunday, September 28, 2008

PERUTUSAN AIDIL FITRI YAB MENTERI BESAR KEDAH DARUL AMAN

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh
Bagi pihak kerajaan Negeri Kedah, saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, kepada rakyat negeri Kedah dan tidak ketinggalan kepada seluruh muslimin-muslimat di negara ini.
Aidil Fitri adalah hari kebesaran kurniaan Allah SWT setelah kita menunaikan ibadat puasa dalam masa sebulan, berjihad dan bermujahadah dengan mengerjakan ibadat dengan penuh ketaatan kepada Allah SWT, melakukan perkara yang disuruh dan meninggalkan perkara yang dilarang.
Ibadat yang melatih kita untuk menjadi orang-orang yang bertakwa kepada Allah Taala. Orang yang bertaqwa adalah mereka yang senantiasa mentaati perintah Allah dan amat takut untuk melakukan kejahatan.
Semoga ‘Madrasah Ramadhan 1429’ yang baru kita lalui ini akan menjadi ikhtibar untuk kita meneruskan amalan yang baik yang dilaksanakan sepanjang Ramadhan.
Setelah sebulan dalam bulan Ramadhan, kita bakal sama-sama menyambut hari kebesaran, iaitu Aidil Fitri.
Di sinilah letakkan penghujung atau kemuncak setelah kita berlapar dahaga, bersabar dengan cabaran Ramadhan, bermunajat di malam Ramadhan dan seumpamanya.
Segalanya bakal lenyap tanpa pahala jika kita alpa dan dilalaikan dengan sambutan Aidil Fitri yang terkeluar dari norma-norma Islam.
Islam menganjurkan kita memuji nama Allah apabila menjelangnya Syawal, memanjatkan rasa syukur kerana berjaya melalui ujian besar menghadapi Ramadhan serta bersedih kerana kita sudah terlepas daripada Ramadhan, bulan yang penuh rahmat.
Menyambut hari kemenangan ini tidak salah, tetapi yang salahnya adalah cara menyambut Aidil Fitri.
Kejayaan akan menjadi milik kita dengan pertolongan Allah swt sekiranya kita berjaya menzahirkan ketaqwaan dan keimanan yang kukuh.
Al Quran yang diturunkan pada bulan Ramadhan mestilah menjadi pegangan dan panduan kita untuk dibawa ketengah masyarakat bagi menyelamatkan mereka dari kesesatan dan kemusnahan dengan memimpin mereka ke arah kebenaran dan kesejahteraan yang sebenar.
Semoga dengan berkat Aidil Fitri kali ini, kita dapat mentautkan kembali tali silaturrahim sesama rakyat di negeri ini.
Saya yakin, kesempatan ini akan digunakan oleh rakyat dari berbilang bangsa untuk kunjung-mengunjung antara satu sama lain.
Teruskanlah budaya muhibbah ini, negeri ini milik kita, Kedah Sejahtera kerana kita.
Marilah pada kesempatan ini, kita membaharukan semangat untuk meningkatkan lagi kerja dan amal kita dalam meningkatkan ibadah kepada Allah SWT, menguatkan ukhuwah, persaudaraan di kalangan kita dengan ukhuwah iman dan Islam yang menyatukan umat Islam sehingga mereka tidak ada beza di antara satu sama lain.
Tidak ketinggalan untuk saya ucapkan selamat pulang berhari raya di negeri tercinta ini kepada anak-anak Kedah yang berada di perantauan.
“Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa dan janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan kamu menjadi orang-orang Islam.” (Surah Ali Imran: 102)
Sekian, terima kasih.
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, walillah il-hamd.
Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak
Menteri Besar Negeri Kedah Darul Aman
Posted by Warta Darul Aman Daily at 9:56 AM

0 comments:

Wednesday, September 17, 2008

Maklumat Semasa

Sunday, September 14, 2008

Lebihan akaun kerajaan negeri selepas enam bulan

Oleh Izwan Abdul Halim

KUALA KEDAH, 10 September – Laporan semasa kewangan negeri Kedah menunjukkan perkembangan positif dengan terdapatnya lebihan puluhan juta ringgit di dalam penyata kira-kira kewangan negeri.
Demikian menurut Menteri Besar, YAB Dato' Seri Ustaz Haji Azizan Abdul Razak semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Penyampaian Zakat Dan Berbuka Puasa di Masjid Kariah Kampung Hutan, Mukim Padang Hang, di sini.
"Kita dapat maklumat daripada Pegawai Kewangan Negeri, inilah kali pertama dalam masa enam bulan, kira-kira kewangan negeri kita positif," maklum beliau pada majlis itu.
Terdahulu, pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri di Wisma Darul Aman pada petang itu, Ustaz Azizan mengarahkan Syarikat Milik Kerajaan Negeri (GLC) membuat laporan kepada polis dan Badan Pencegah Rasuah (BPR) berhubung Jenayah Pecah Amanah yang berlaku di dalam pengurusan sesetengah GLC terbabit semasa di zaman pemerintahan Barisan Nasional.
Ujarnya, Kerajaan Negeri setelah enam bulan mengambil alih tampuk pemerintahan menjumpai banyak penyelewengan serta salah guna kuasa dan wang yang dilakukan pentadbiran terdahulu.
Dalam perkembangan lain, YAB Menteri Besar pada 5 Ogos lalu memaklumkan Kerajaan Negeri berjaya menjimatkan puluhan juta ringgit hasil daripada polisi belanja berhemah yang diamalkan selain mengurangkan 30 peratus peruntukan untuk pembangunan berikutan kenaikan harga minyak pertengahan Jun lalu.
Posted by Warta Darul Aman Daily at 3:07 PM

Tuesday, September 16, 2008

Berita Semasa


Tuesday, September 2, 2008

GLC TIDAK PATUT RUGI
-YAB Menteri Besar
Oleh: WADIASSOFI JAAFAR

ALOR STAR, 26 Ogos 2008 – Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) sepertimana jabatan di bawah kelolaan Kerajaan Negeri yang lain merupakan aset kerajaan negeri tetapi cuma bezanya Syarikat Milik Kerajaan Negeri (GLC) adalah berperanan khusus dalam menceburi bidang perniagaan.
Menteri Besar, YAB Dato' Seri Ustaz Azizan Abdul Razak berkata, Kerajaan Negeri memberi tanah dan aset serta kemudahan lain yang mana semua ini adalah amanah yang perlu digunakan secara bijak dan telus bagi kepentingan rakyat.
"Jadi, kes-kes GLC yang mengalami kerugian tidak sepatutnya berlaku jika amanah ini dijalankan berlandaskan iman dan ilmu," jelasnya.
Beliau berkata demikian pada majlis Perjumpaan Bersama Ahli Lembaga Pengarah PKNK, Warga PKNK, Anak Syarikat serta Ahli Bersekutu di Dewan Seri Mentaloon, di sini.
Menurutnya, semua anggota PKNK khususnya dan warga GLC perlulah menyedari bahawa semua anggota dan gerak kerja perlulah tertakluk kepada arahan-arahan Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat yang dikeluarkan dari semasa ke semasa bagi memastikan kecemerlangan GLC terus terpelihara.
Ujarnya, walaupun GLC adalah agensi yang tertutup, tidak bermakna boleh bergerak bebas dan semua anggota perlulah menyediakan diri dengan sikap yang lebih terbuka dan rasional dalam mengharungi cabaran-cabaran kerja dan bersaing dengan jabatan kerajaan yang lain.
Sepertimana jabatan-jabatan kerajaan negeri yang lain, katanya, peranan GLC sebagai agen penjana pendapatan dan pembangunan negeri amat diperlukan bagi menyokong dan menjadi tulang belakang ekonomi negeri.
"Pembayaran dividen dan hutang kepada PKNK dan juga kepada Kerajaan Negeri perlulah dilihat secara jelas kerana ia adalah hak rakyat dan perlu adanya disiplin daripada PKNK dan anak syarikat," katanya.
Tambahnya, dalam Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah, beliau turut meminta agar diadakan agenda tetap iaitu agenda kewangan berkaitan cukai tanah, premium, kutipan hasil sewa kawasan zon industri, gerai dan lain-lain agar perbelanjaan kita akan lebih terperinci dan dengan cara yang berhemah.
Jelasnya, satu unit penguatkuasaan juga telah dicadangkan penubuhannya di mana akan dikawal secara terus bersama Exco dan juga Pegawai Kewangan Negeri di mana laporan kewangan ini akan dilapor secara langsung.
"Saya ingin mengambil contoh seperti Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), di mana unit audit dalamannya telah dipinjamkan sementara kepada pegawai daripada Jabatan Audit Negara untuk membuat pemantauan di mana tugasnya bukan setakat membuat kerja pengauditan tetapi juga melihat semua hal pembayaran yang perlu melaluinya terlebih dahulu," ujarnya.
Posted by Warta Darul Aman Daily at 11:26 AM

Wednesday, September 10, 2008



KAKITANGAN AWAM KEDAH DAPAT BONUS SEBULAN GAJI
Oleh : AMELIA HASHIM

ALOR STAR, 3 September: Kakitangan awam negeri Kedah mampu tersenyum apabila kerajaan mengumumkan peruntukan sebanyak lebih RM8 juta sebagai bonus untuk mereka. Seramai 9,539 kakitangan kerajaan negeri Kedah dan agensi di bawahnya bakal menikmati bonus bulan ini.
Menteri Besar Kedah YAB Dato' Seri Ustaz Azizan Abdul Razak memberitahu media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di sini. Tambahnya lagi, pembayaran bonus sebulan gaji dengan kadar minimum RM1,000 itu akan dibayar kepada 143 Pegawai Tadbir Negeri (PTN), 203 kakitangan Kumpulan Pengurusan dan 5,524 kakitangan Kumpulan Sokongan.
Selain pemberian bonus ini turut melibatkan kakitangan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) iaitu seramai 2,816 orang serta 853 orang kakitangan berkanun.
Sehubungan itu, YAB Dato' Seri Azizan juga memberitahu, Kerajaan Negeri telah memperuntukan sebanyak RM11 juta setiap bulan untuk pembayaran gaji dan elaun kakitangan di seluruh negeri Kedah.
Menyentuh mengenai tanggungan bebanan kerajaan yang lain termausuklah hutangnya dengan Kerajaan Pusat beliau berkata, Kerajaan Negeri telah meyediakan pelan dan jadual pembayaran setiap tahun.
"Kita ada duit dan mampu membayar hutang yang dibuat oleh kerajaan yang memerintah Kedah dahulu. Tahun ini kita akan bayar hutang kita," katanya.
Posted by Warta Darul Aman Daily