Sunday, June 13, 2010

Peranan Jabatan Pertanian penting jayakan ‘Holland Of The East’

Ditulis oleh WADIASSOFI JAAFAR

ALOR SETAR: Kerajaan Negeri Kedah melihat betapa pentingnya Jabatan Pertanian dalam melaksanakan Pelan Hala Tuju Pertanian Negeri Kedah ke arah menjadikan negeri ini sebagai ‘Holland of The East’.

Di samping itu, peranan Pembantu Pertanian sebagai barisan hadapan adalah seiring dengan peranan penghulu yang berfungsi sebagai agen perubahan kepada masyarakat tani.

Menurut Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak, pendekatan seumpama ini seharusnya diperluaskan skop latihannya kepada semua kategori pegawai dan Jabatan Pertanian bagi tujuan mengekalkan tahap kecemerlangan perkhidmatan yang berkualiti mengikut skop kerja masing-masing.

“Justeru itu, perancangan Jabatan Pertanian dalam memastikan program latihan ini harus dibuat dengan rapi sama ada dari aspek penganjuran, perbelanjaan dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Seminar Pemantapan Kerjaya dan Pembangunan Modal Insan Pembantu Pertanian, Jabatan Pertanian Negeri Kedah Darul Aman di Hotel Seri Malaysia, di sini.

Menteri Besar memberitahu, seminar yang bertemakan integriti ini dilihat sebagai satu pendekatan terbaik dan seharusnya dijadikan calendar tahunan dalam program latihan pegawai Jabatan Pertanian.

“Pihak Kerajaan Negeri akan memberi sokongan padu dalam pelaksanaan seminar seumpama ini ke arah mewujudkan kumpulan pekerja yang berinovatif dan memiliki saksyiah diri yang tinggi,” ujarnya.

Integriti, katanya, amat penting dalam usaha mengurangkan gejala rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa di samping meningkatkan kecekapan dalam sistem penyampaian perkhidmatan awam serta mengatasi karenah birokrasi.

“Saya difahamkan bahawa Jabatan Pertanian sedang melaksanakan Sistem Pengembangan Tekno Pertanian (SPTP) yang menitikberatkan aspek pemindahan teknologi pertanian kepada golongan sasar yang terdiri dari syarikat-syarikat swasta, kelompok-kelompok tani, usahawan tani dan orang-perseorangan melalui lawatan dan latihan berkala mengikut kawasan perkhidmatan Pembantu Pertanian di seluruh daerah di Negeri Kedah,” jelasnya.

Tambahnya, peranan Pembantu Pertanian dalam melaksanakan SPTPA ini dilihat sebagai penggerak utama bagi memastikan program ini berjalan seperti dirancangkan untuk manfaat semua golongan sasar ke arah peningkatan produktiviti ladang seterusnya hasil dan pendapatan masyarakat tani.

“Saya juga difahamkan bahawa Jabatan Pertanian sedang giat membangunkan tanah-tanah terbiar di seluruh Negeri Kedah yang dianggarkan seluas 2,400 hektar dan kejayaan Jabatan Pertanian memajukan seluas 475 hektar sejak tiga tahun lalu harus dipuji mengambil kira kesukaran dan halangan yang terpaksa ditemouhi terutama dalam mengenal pasti tuan-tuan tanah dan mendapatkan usahawan yang sanggup melabur dalam memajukan tanah-tanah terbiar tersebut,” katanya.

Kerajaan Negeri melalui GLC juga, ujarnya, mempunyai perancangan yang besar untuk memajukan tanah-tanah negeri dengan komoditi tanaman seperti buah-buahan, jagung dan lain-lain tanaman berpotensi seperti tanaman herba di Bio Valley, Kulim.

Permintaan terhadap sekolah agama semakin meningkat

Ditulis oleh SITI ZALEHA ABDUL RAHIM

BALING – Permintaan terhadap sekolah berteraskan agama semakin meningkat walaupun berada di zaman serba moden.

Menteri Besar Kedah, YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak berkata, pemasalahan sosial di kalangan remaja meruncing menyebabkan ibu bapa cenderung menghantar anak-anak mereka ke sekolah yang berteraskan agama.

“Sepatutnya pusat pengajian melahirkan seorang insan yang budiman, berjiwa tinggi, berakhlak. Tetapi sekarang, ianya (sekolah) menjadi satu sarang kepada perkara-perkara yang tidak baik.

“Ianya hasil kepada kesan suasana persekitaran, keruntuhan akhlak berleluasa, sepatutnya bila ke sekolah, pelajar jadi baik, tapi sekarang dah lain. Ini ada kesilapan dalam pendidikan.

“Jadi sekolah agama jadi permintaan, jika dulu orang tak mahu hantar anak ke sekolah agama. Kerajaan juga giat memperkasakan sekolah yang ada nilai moral,” jelas beliau pada Majlis Peletakan Batu Asas Makmal Ma’ahad Tahfiz Sains Yayasan Khairiah.

Justeru, beliau memuji tindakan Sekolah Menengah Agama (SMA) Yayasan Khairiah, Kupang, Baling yang lebih pantas mewujudkan sains tahfiz bagi memenuhi tuntutan pendidikan semasa.

“Di Malaysia, Kelantan merupakan negeri pertama menubuhkan sains tahfiz. Kerajaan negeri bersama Yayasan Islam telah merancang untuk mewujudkan sains tahfiz, pihak Yayasan Islam juga telah ke Kelantan bagi meninjau sains tahfiz ini, tetapi Alhamdulillah Yayasan Khairiah lebih cepat menubuhkannya.

“Kerajaan negeri ambil berat mengenai pengajian berteraskan Islam supaya galakkan orang ramai hantar anak ke sini,” ujar beliau.

Beliau turut menasihatkan para pelajar SMA Yayasan Khairiah agar lebih berusaha untuk terus maju bagi mengembalikan Kedah sebagai pusat ilmu.

“Pelajar di Yayasan Khairiah ini beruntung kerana sekolah ini melahirkan insan yang baik.

“Pendidikan melahirkan insan yang berbakat, manusia yang berkhidmat kepada masyarakat, manusia yang baik. Jadi pelajar perlu sedar apakah misi dan visi dia datang belajar,” ujar beliau.

Hadir sama pada majlis itu adalah Ahli Dewan Negara, YB Senator Yusuf Husin, Ahli Parlimen Baling, YB Ustaz Taib Azamuddin, ADUN Kupang, YB Johari Abdullah, ADUN Kuala Ketil, YB Md Zuki Yusof, Pegawai Daerah Baling, Ahmad Fisol Md Nor dan Pengetua SMA Yayasan Khairiah, Abdul Rahman Yahya Taha.