Wednesday, September 17, 2008

Maklumat Semasa

Sunday, September 14, 2008

Lebihan akaun kerajaan negeri selepas enam bulan

Oleh Izwan Abdul Halim

KUALA KEDAH, 10 September – Laporan semasa kewangan negeri Kedah menunjukkan perkembangan positif dengan terdapatnya lebihan puluhan juta ringgit di dalam penyata kira-kira kewangan negeri.
Demikian menurut Menteri Besar, YAB Dato' Seri Ustaz Haji Azizan Abdul Razak semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Penyampaian Zakat Dan Berbuka Puasa di Masjid Kariah Kampung Hutan, Mukim Padang Hang, di sini.
"Kita dapat maklumat daripada Pegawai Kewangan Negeri, inilah kali pertama dalam masa enam bulan, kira-kira kewangan negeri kita positif," maklum beliau pada majlis itu.
Terdahulu, pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri di Wisma Darul Aman pada petang itu, Ustaz Azizan mengarahkan Syarikat Milik Kerajaan Negeri (GLC) membuat laporan kepada polis dan Badan Pencegah Rasuah (BPR) berhubung Jenayah Pecah Amanah yang berlaku di dalam pengurusan sesetengah GLC terbabit semasa di zaman pemerintahan Barisan Nasional.
Ujarnya, Kerajaan Negeri setelah enam bulan mengambil alih tampuk pemerintahan menjumpai banyak penyelewengan serta salah guna kuasa dan wang yang dilakukan pentadbiran terdahulu.
Dalam perkembangan lain, YAB Menteri Besar pada 5 Ogos lalu memaklumkan Kerajaan Negeri berjaya menjimatkan puluhan juta ringgit hasil daripada polisi belanja berhemah yang diamalkan selain mengurangkan 30 peratus peruntukan untuk pembangunan berikutan kenaikan harga minyak pertengahan Jun lalu.
Posted by Warta Darul Aman Daily at 3:07 PM