Sunday, June 13, 2010

Permintaan terhadap sekolah agama semakin meningkat

Ditulis oleh SITI ZALEHA ABDUL RAHIM

BALING – Permintaan terhadap sekolah berteraskan agama semakin meningkat walaupun berada di zaman serba moden.

Menteri Besar Kedah, YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak berkata, pemasalahan sosial di kalangan remaja meruncing menyebabkan ibu bapa cenderung menghantar anak-anak mereka ke sekolah yang berteraskan agama.

“Sepatutnya pusat pengajian melahirkan seorang insan yang budiman, berjiwa tinggi, berakhlak. Tetapi sekarang, ianya (sekolah) menjadi satu sarang kepada perkara-perkara yang tidak baik.

“Ianya hasil kepada kesan suasana persekitaran, keruntuhan akhlak berleluasa, sepatutnya bila ke sekolah, pelajar jadi baik, tapi sekarang dah lain. Ini ada kesilapan dalam pendidikan.

“Jadi sekolah agama jadi permintaan, jika dulu orang tak mahu hantar anak ke sekolah agama. Kerajaan juga giat memperkasakan sekolah yang ada nilai moral,” jelas beliau pada Majlis Peletakan Batu Asas Makmal Ma’ahad Tahfiz Sains Yayasan Khairiah.

Justeru, beliau memuji tindakan Sekolah Menengah Agama (SMA) Yayasan Khairiah, Kupang, Baling yang lebih pantas mewujudkan sains tahfiz bagi memenuhi tuntutan pendidikan semasa.

“Di Malaysia, Kelantan merupakan negeri pertama menubuhkan sains tahfiz. Kerajaan negeri bersama Yayasan Islam telah merancang untuk mewujudkan sains tahfiz, pihak Yayasan Islam juga telah ke Kelantan bagi meninjau sains tahfiz ini, tetapi Alhamdulillah Yayasan Khairiah lebih cepat menubuhkannya.

“Kerajaan negeri ambil berat mengenai pengajian berteraskan Islam supaya galakkan orang ramai hantar anak ke sini,” ujar beliau.

Beliau turut menasihatkan para pelajar SMA Yayasan Khairiah agar lebih berusaha untuk terus maju bagi mengembalikan Kedah sebagai pusat ilmu.

“Pelajar di Yayasan Khairiah ini beruntung kerana sekolah ini melahirkan insan yang baik.

“Pendidikan melahirkan insan yang berbakat, manusia yang berkhidmat kepada masyarakat, manusia yang baik. Jadi pelajar perlu sedar apakah misi dan visi dia datang belajar,” ujar beliau.

Hadir sama pada majlis itu adalah Ahli Dewan Negara, YB Senator Yusuf Husin, Ahli Parlimen Baling, YB Ustaz Taib Azamuddin, ADUN Kupang, YB Johari Abdullah, ADUN Kuala Ketil, YB Md Zuki Yusof, Pegawai Daerah Baling, Ahmad Fisol Md Nor dan Pengetua SMA Yayasan Khairiah, Abdul Rahman Yahya Taha.

No comments: