Wednesday, October 6, 2010

Akta Pusat telah memansuhkan Enakmen Bekalan Air Negeri

Ditulis oleh WADIASSOFI JAAFAR

ALOR SETAR, 6 Oktober: Perlembagaan Persekutuan telah dipinda pada bulan Januari 2005 di mana perkhidmatan bekalan air berkaitan dengan rawatan air dan pengagihan dipindahkan dari Senarai Negeri ke Senarai Bersama (Negeri dan Pusat).

Penstrukturan semula industri bekalan air oleh Kerajaan Persekutuan ialah pada tahun 2003 iaitu melibatkan penstrukturan semula indsutri Bekalan Air Negara oleh Kerajaan Persekutuan, Pindaan Perlembagaan Persekutuan (2005), Kelulusan Akta Industri Perkhidmatan Air (Akta 665) pada tahun 2006, Kelulusan Akta Suruhanjaya Perkhidmatan Air (Akta 654) pada tahun 2006 dan Penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) tahun 2007.

Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Darul Aman (SADA), Adzmi Din berkata, Perbadanan Aset Air Berhad (PAAB) diberi tanggungjawab dalam membina, membaikpulih, memperbaiki, meningkatkan, menyelenggara dan membaiki sistem bekalan air dan semua aset lain yang berhubung dengan sistem tersebut.

Menurutnya, PAAB juga bertanggungjawab untuk membantu Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dalam menguruskan penstrukturan industri air negara serta mendapatkan sumber kewangan untuk pembangunan indsutri bekalan air dan pembentungan.

“Tanggungjawab SPAN adalah sebuah badan kerajaan yang ditubuhkan untuk menguatkuasa dan memantau perkhidmatan air yang telah dirawat di Malaysia kecuali Sabah dan Sarawak,” ujarnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Darul Aman (SADA), Adzmi Din berkata, pada majlis Taklimat Penstrukturan Semula Tarif Air di Negeri Kedah Darul Aman di Wisma Darul Aman, di sini.

Adzmi memberitahu, SPAN telah ditubuhkan pada bulan April 2007 bersempena Akta Suruhanjaya Perkhidmatan Air 2006 (Akta 654) untuk memantau dan menguatkuasa Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) yang dikenali sebagai WSIA dan semua undang-undang subsidiary di bawahnya.

Dengan adanya kedua-dua akta tersebut (Akta 655 dan Akta 654) yang telah diluluskan pada tahun 2006 dan telah berkuatkuasa pada 1 Januari 2008, jelasnya, maka Enakmen Bekalan Air yang diguna pakai oleh negeri-negeri tidak lagi terpakai dan semua Jabatan Bekalan Air dan Lembaga Air Negeri diletakkan di bawah kawalan SPAN.

Seksyen 3 Akta 655 telah memperuntukkan bahawa Kerajaan Persekutuan mempunyai kuasa eksekutif berkenaan sistem bekalan air dan perkhidmatan bekalan air di seluruh Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Labuan.

No comments: