Wednesday, October 6, 2010

RASIONAL TERHADAP KENAIKAN TARIF AIR DI KEDAH

Ditulis oleh ZULKIFLI YAHAYA

Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Bekalan Air Darulaman (SADA) Dato’ Adzmi Haji Din mengumumkan kenaikan tarif air di Kedah mulai 1 Oktober 2010. Secara puratanya kenaikan tarif air hanyalah RM0.10 bagi setiap meter padu air.

Kali terakhir tarif air di Kedah di semak ialah pada 1 Mac 1993. Mulai tarikh itu sehingga 30 September 2010, harga satu meter padu air ialah RM0.40. Ia adalah harga air yang kedua terendah di Malaysia selepas Pulau Pinang. Harga semeter padu air di Pulau Pinang hanya RM0.30, manakala perlis yang berada di tempat ke tiga terendah ialah RM0.48. Kedua-kedua negeri itu mendapat sumber air percuma dari sungai serta kawasan tadahannya yang berada di Kedah.

Sepanjang 17 tahun tarif air tidak pernah naik di Kedah, harga petrol naik berpuluh-puluh kali. Kenaikan harga petrol menyebabkan semua perkhidmatan yang berkaitan dengannya juga naik. Antaranya ialah tarif elektrik yang naik entah berapa kali sepanjang tempoh 17 tahun itu.

Maka jika kerajaan negeri, melalui SADA mengumumkan kenaikan tarif air mulai 1 Oktober 2010 maka ia adalah tindakan yang sangat munasabah.

Dalam isu kenaikan tarif air ini, kita boleh memberikan alasan munasabah yang melampaui batas keraguan.

Pertama: Semakan dan pelarasan tarif air ini adalah arahan dari Kerajaan Pusat setelah melihat kegagalan pengurusan air di hampir kesemua negeri di Malaysia akibat dari hasil air yang dikutip tidak seimbang dengan belanja pengurusan yang tinggi.

Semakan dan pelarasan yang diumumkan Kedah ini telah diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan mengikut Peraturan-Peraturan Industri Perkhidmatan Air (Kadar Perkhidmatan Bekalan Air - Negeri Kedah) 2010. Maknanya, Pusat sudah merestuinya. Pusat pasti merestuinya kerana ia memudahkan kerajaan negeri untuk membayar balik hutang pengurusan air kepada Pusat sebanyak RM50 juta setahun.

Kenaikan akan juga berlaku di negeri-negeri lain, termasuk negeri yang sealiran dengan Pusat. Cuma Kedah yang mula dahulu.

Kedua: Kenaikan ini tidak dapat dielak memandangkan kos pengeluaran dan pengurusan bekalan air meningkat yang meningkat. Contohnya, kos berdasarkan kuantiti bahan kimia yang dibeli untuk mengolah dan merawat air juga meningkat. Misalnya RM1,977,334.81 pada tahun 2003 kepada RM4,792,296.03 pada tahun 2009. Bahan kimia ini termasuklah Polyaluminium Chloride, Sodium Silicoflouride, Chlorine dan Hydrated Lime yang diguna untuk membersih air dalam tangki-tangki.

Antara yang naik juga ialah tarif elektrik. Lebih 50 peratus kos pengeluaran air ialah kos elektrik. Ia menjadikan kos yang terpaksa dibayar kepada TNB juga bertambah. Minsalnya hanya sebanyak RM11,575,058.47 pada tahun 2003 meningkat menjadi RM26,091,689.06 pada tahun 2009. Kenaikan tarif elektrik mempunyai kaitan yang sangat rapat dengan kenaikan harga minyak. Air naik kerana elektrik naik, elektrik naik kerana minyak bahan bakar naik.

Ketiga: Perjanjian lama yang merugikan. Satu lagi faktor khusus yang mengakibatkan peningkatan kos ialah perjanjian pengurusan bekalan air dengan pihak swasta yang dibuat di zaman kerajaan terdahulu merugikan pihak kerajaan. Jabatan Bekalan Air Kedah (sekarang SADA) terpaksa membayar kepada syarikat Utara Indah Sdn. Bhd. Lebih RM327 juta bagi tempoh 2003 hingga 2009 dan Taliworks (Langkawi) Sdn. Bhd sebanyak RM206 juta sepanjang tempoh yang sama.

Pada tahun 2009 sahaja kerajaan terpaksa membayar kepada Taliworks RM39 juta sedangkan kutipan hasil air di Langkawi hanya sebanyak RM14 juta, bermakna kerajaan terpaksa ‘top up’ sebanyak RM25. Tiap-tiap tahun kerajaan terpaksa 'top up' pembayaran kepada Taliworks akibat caj yang dikenakan oleh syarikat swasta itu terlalu tinggi, tidak sepadan dengan perkhidmatan yang diberikan dan tidak sepadan dengan kutipan hasil air. Jika kerajaan melalui JBA/SADA yang uruskan sendiri harga pengurusannya jauh lebih murah. Soalnya mengapa kerajaan dahulu mengswastakannya?

Begitu juga perjanjian dengan syarikat Utara Indah Sdn Bhd yang diberi tugas merawat air di loji Pelubang, Jitra. Bayaran dibuat berdasarkan kapasiti air yang dirawat bukannya kapasiti air yang sampai kepada pengguna. Hakikatnya kapasiti air yang sampai kepada pengguna hanya kira-kira 55 peratus. Bermakna kerajaan hanya ‘menderma’ kepada syarikat tersebut untuk kerja merawat baki 45 peratus air yang tidak sampai kepada pengguna.

Harga barangan atau perkhidmatan apa pun tidak pernah kekal sehingga melebihi 17 tahun. Begitu juga air. Pada penggunaan biasa di rumah-rumah, kenaikan hanyalah antara RM3 hingga RM7 setiap bulan. Tiada rakyat yang akan papa kedana hanya kerana menambah perbelanjaan RM3-RM7 setiap bulan. Yang penting rakyat akan merasakan perkhidmatan yang lebih baik selepas kenaikan ini.

No comments: