Wednesday, October 6, 2010

Kenaikan tarif adalah kuasa Pusat, Jangan salahkan Kerajaan Negeri

Ditulis oleh WADIASSOFI JAAFAR

ALOR SETAR - Kerajaan Persekutuan mempunyai kuasa eksekutif berhubung dengan sistem bekalan air dan perkhidmatan air di seluruh Semenanjung Malaysia sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Seksyen 3 Akta 655. Maka Kerajaan Persekutuan berhak untuk menstruktur semula tariff air sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Seksyen 84 (1 dan 2) dan Seksyen 179 (i) Akta 655.

Demikian diberitahu oleh Ketua Pegawai Eksekutif SADA, Dato’ Adzmi Din sewaktu menyampaikan taklimat Penstrukturan Semula Tarif Air di Negeri Kedah Darul Aman di Wisma Darul Aman, di sini.

“Memandangkan Kerajaan Negeri tidak diperuntukkan kuasa oleh undang-undang, maka adalah tidak wajar Kerajaan Negeri dipersalahkan dalam isu kenaikan tarif air dan hanya Kerajaan Persekutuan melalui Mesyuarat Kabinet diberi kuasa oleh undang-undang di dalam soal penstrukturan tarif air di negeri-negeri,” tegasnya.

Menurut Dato’ Adzmi lagi, di bawah Seksyen 191 Akta 655, memperuntukkan kuasa kepada SPAN untuk mengeluarkan “Pemberikuasaan” kepada SADA untuk menjalankan operasi sebagai operator air dan ianya perlu diperbaharui setiap tiga bulan dan memandangkan SADA belum lagi memiliki lesen perkhidmatan dari SPAN dan proses pengkorporatan belum lagi dimuktamadkan, maka SADA perlu mematuhi segala arahan yang dikeluarkan oleh SPAN yang bertindak sebagai ‘regulator’.

Katanya, melalui peruntukan Seksyen 3, perjalanan SADA secara keseluruhannya dikawal oleh SPAN yang bertindak sebagai Regulator termasuk dari aspek kewangan dan sebarang kegagalan SADA dalam mematuhi peraturan-peraturan yang dikeluarkan oleh SPAN, akan memberi kesan negatif kepada SADA menurut Seksyen 114.

“Seksyen 114 Akta 655, Seksyen memperuntukkan kuasa kepada Menteri untuk mengeluarkan arahan pengambilalihan keseluruhan atau sebahagian daripada harta, perniagaan dan hal ehwal pemegang lesen (SADA) sekiranya pemberikuasaan ataupun lesen tidak diberikan pada SADA,” ujarnya.

Arahan ini, katanya, boleh dikeluarkan oleh Menteri sekiranya SADA gagal untuk menjalankan perkhidmatan sebagaimana yang diperuntukkan di dalam Akta 655 termasuk kegagalan kewangan.

Turut hadir di majlis itu ialah Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO), wakil-wakil rakyat dan pemimpin masyarakat.

No comments: